KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) – Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) perlu diperluaskan ke prasarana lain di Malaysia, terutamanya sekiranya negara mahu bersiap sedia melaksanakan teknologi Generasi Kelima (5G), kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan edotco Suresh Sidhu.
Beliau berkata prasarana menara negara sekarang masih kurang disepadukan dengan gentian optik dan hanya kira-kira 30 peratus hingga 40 peratus menara di negara ini disepadukan dengan gentian optik.
“Adalah penting untuk memastikan negara dilengkapkan dengan prasarana telekomunikasi yang betul.
“Bagi memenuhi aspirasi harga dan kelajuan kita perlu menggalakkan lebih banyak perkongsian prasarana dan penggunaan akses wayales tetap,” kata Suresh dalam satu kenyataan.
Dalam Belanjawan 2019 yang dibentangkan pada Jumaat, kerajaan berkata ia merancang melaksanakan NFCP dengan peruntukan RM1 bilion untuk menggalakkan ekonomi digital.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls and Theme Parks Hoi Choy Chan berkata dalam usaha kerajaan untuk mengembangkan penerimaan pakai Industri 4.0 terutamanya dalam pindahan pengetahuan dan pembangunan kecerdasan buatan (AI), geran padanan akan memacu produktiviti lebih tinggi dan rasionalisasi kos dalam industri gedung dan runcit.
“Kami mengambil perhatian akan kepentingan unjuran kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 4.8 peratus bagi 2018 dan 4.9 peratus bagi 2019, berbanding unjuran pertumbuhan global tahun depan.
“Ini menyokong ketahanan ekonomi Malaysia dalam berdepan keadaan global yang tidak menentu dan perang perdagangan. Dalam keadaan ini dan kedudukan fiskal semasa negara, keseluruhan Belanjawan 2019 adalah bersasar di samping melaksanakan pendekatan berhemat,” katanya.
— BERNAMA
Sumber gambar utama: iTel Networks