Sebelum ini, kerajaan UK telah mengumumkan syarikat telekomunikasi di UK kini dilaporkan bakal diharamkan memasang kelengkapan 5G baharu dari Huawei selepas September 2021. Ia adalah selari dengan keputusan A.S yang mengatakan gergasi teknologi China itu menimbulkan risiko keselamatan.

Nampaknya, tekanan Amerika Syarikat (A.S) terhadap Huawei kelihatan masih belum berkesudahan. Terbaru, Korea Selatan pula dilaporkan bakal menerima tekanan untuk menyekat teknologi 5G dari Huawei.

Berdasarkan laporan, sebuah jawatankuasa dari Kongres Amerika Syarikat telah mengemukakan rang undang-undang (RUU) baru yang menggesa Pentagon untuk mempertimbangkan risiko keselamatan yang ditimbulkan oleh syarikat teknologi dari China.

Syarikat telco UK

RUU yang dinamakan sebagai 2021 National Defense Authorization Act, telahpun dipersetujui oleh Jawatankuasa Senjata Senat dan akan dikemukakan untuk undian. Jika melepasi kelulusan, keputusan ini akan digunakan sebagai tekanan kepada Korea Selatan untuk menyekat Huawei atau mana-mana syarikat teknologi dari China yang dianggap sebagai mengganggu keselamatan negara.

Memandangkan negara itu sangat bergantung kepada pasukan ketenteraan A.S, kemungkinan mereka terpaksa akur kepada keputusan itu nanti. Pada masa ini, LG Uplus yang merupakan salah satu pengendali rangkaian mudah alih di Korea Selatan turut menggunakan kelengkapan 5G dari Huawei.

Keseluruhan infrastruktur dari Huawei dianggarkan melebihi 30%. Untuk menghentikan penggunaan kelengkapan Huawei, LG Uplus berpendapat bahawa mustahil untuk melakukannya memandangkan ianya melibatkan kos yang tinggi.

Namun, syarikat itu turut mengatakan bahawa pihaknya menggunakan kelengkapan daripada Ericsson di Pyeongtaek dan Uijeongbu, iaitu di lokasi pangkalan tentera A.S.

Dalam pada itu, Korea Selatan mengatakan bahawa ianya bergantung kepada pengendali rangkaian tersebut untuk menentukan kelengkapan yang akan digunakan.

Sumber: GizmoChina