Sekiranya anda pernah atau mahu format semula USB atau storan luaran HDD, pasti anda pernah lihat pelbagai jenis yang dipaparkan seperti FAT32, NTFS dan exFAT.

Adakah ia sama sahaja atau mempunyai perbezaan terutama ketika mahu menyimpan barang di dalam. Oleh itu, mari kita lihat dan mengenali apa perbezaan format USB ini.

Pertama sekali anda perlu tahu kesemua format tersebut dianggap sebagai sistem fail. Dalam erti kata lain, ia akan menentukan bagaimana data disimpan pada pemacu dan jenis maklumat yang boleh disimpan.

Seperti yang dinyatakan, tiga jenis format itu adalah:

  • NTFS – (New Technology File System)
  • FAT32 – (File Allocation Table)
  • exFAT – (Extended File Allocation Table)

NTFS adalah sistem yang banyak digunakan dalam versi Windows pada masa kini secara lalai (default). Ia juga mempunyai saiz fail dan partition yang sangat besar. Malah, turut menyokong kebenaran fail untuk keselamatan.

Format ini boleh digunakan pada Windows XP sehinggalah Windows 10. Jika pada MacOS, ia hanya boleh membaca (read) sahaja dan tidak boleh memindahkan fail dari Mac ke dalam storan USB/HDD.

FAT32 pula adalah versi lama kepada NTFS. Format ini juga diguna pakai pada kebanyakan USB yang dijual di pasaran kerana ia mudah disokong pada mana-mana komputer.

Namun, terdapat kekurangannya dimana ia mempunyai had dalam fail. Maksudnya, anda tidak boleh memindahkan fail bersaiz lebih daripada 4GB pada satu-satu masa. Ia juga kekurangan ciri keselamatan seperti mana yang terdapat pada NTFS.

Format ini boleh digunakan di kesemua versi Windows dan pada macOS pula, ia mampu untuk membaca dan menulis. Bermakna anda boleh memindahkan fail ke dalam USB dari macOS.

Untuk format exFAT, ia telah dioptimumkan bagi kegunaan pemacu. Ia juga membenarkan pengguna memindahkan fail yang melebihi daripada 4GB dalam satu-satu masa.

Tambahan lagi, format ini boleh dikatakan sangat mesra kerana ia membolehkan untuk membaca (read) dan menulis (write) ke USB/HDD pada mana-mana sistem Windows dan macOS.