Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyatakan bahawa kelajuan Internet untuk jalur lebar tetap dan jaringan mudah alih di negara ini adalah stabil.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusinya, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek kepada Bernama itu adalah bersandarkan kepada laporan Opensignal yang menunjukkan kelajuan internet tetap di Malaysia adalah pada purata 88Mbps manakala jaringan mudah alih pula mencapai kelajuan purata 26Mbps.

Beliau juga memaklumkan bahawa jaringan digital negara telah distruktur semula berikutan kebanyakan orang bekerja dari rumah dan pelajar mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penstrukturan itu sekaligus menjadikan jaringan digital negara kini lebih baik bagi memenuhi keperluan peningkatan trafik internet sepanjang tahun lalu.

Beliau juga mengsyorkan supaya pengguna yang bekerja dari rumah dan mempunyai anak-anak yang mengikuti PdPR supaya menggunakan Internet jalur lebar tetap berbanding dengan jaringan data mudah alih untuk kesambungan internet yang lebih baik.

Sumber: Bernama