Pernahkah anda terfikir bahawa minyak masak dijadikan bahan bakar bagi enjin untuk menggerakkan kenderaan? Itulah yang dilakukan oleh Volkswagen Group Logistic (VGL).

Mereka menggunakan minyak masak terpakai untuk dijadikan bahan bakar enjin bagi menggerakkan kapal yang membawa kereta-kereta Volkswagen Group.

Dikatakan minyak masak tersebut adalah bahan yang diluluskan dari minyak sayuran terpakai. Ia diambil dari restoran-restoran dan juga industri makanan.

Tambahan lagi, kapal pertama yang menggunakan bahan bakar ini sudah pun bergerak pada pertengahan November yang lalu dan kapal kedua akan menyusul kemudian bermula awal 2021.

Sebenarnya, kapal-kapal tersebut menggunakan enjin diesel marin dari MAN dan berkuasa lebih dari 19,000 PS. Malah, kapal yang panjangnya 180m ini turut membawa kereta di bawah naungan Volkswagen Group seperti Audi, Seat dan Skoda untuk pasaran Eropah.

Bagi pasaran Eropah, dua buah kapal digunakan untuk mengangkut 3500 kenderaan dalam laluan dari Emden (Utara Jerman) melalui Dublin (Ireland), Santander (Sepanyol) dan Setubal (Portugal) yang seterusnya pulang semula ke Emden.

Perjalanan mengangkut kenderaan tersebut dilakukan sekitar 50 kali setahun dan menjadikan 250,000 unit kenderaan di bawa setiap tahun.

Bahan bakar ini juga dibekalkan oleh syarikat dari Belanda iaitu GoodFuels dan kapal-kapal tersebut akan mengisi minyak mereka di pantai Vlissingen, Belanda.

Melalui bahan bakar ini, pengeluaran CO2 dapat dikurangkan sebanyak 85% sepanjang perjalanan iaitu daripada 60,000 kepada 9,000 tan setahun. Sementara pengeluaran sulfur oksida juga tidak dihasilkan.

Strategi ini sememangnya dirancang untuk menjadikan VGL lebih mesra alam. Malah, langkah lain yang digunakan adalah menggunakan cecair gas asli (LNG) sebagai bahan bakar pengangkut kenderaan mereka.

Menurut Thomas Zernechel, Ketua VGL semua penghantaran menggunakan kereta api di Jerman dengan DB Kargo akan diubah menggunakan kuasa-eko.

Sumber: greencarcongress