Berdasarkan kajian daripada Trinity College Dublin, Google dilaporkan mengumpul 20 kali lebih banyak data daripada peranti Android berbanding data yang dikumpul Apple melalui pengguna iOS.

Memetik laporan Ars Technica, kedua-dua peranti iOS dan Android terus mengumpulkan dan memindahkan data telemetri, masing-masing kepada Apple dan Google. Pengumpulan data ini bermula dari memasukkan kad SIM ke dalam telefon pintar hingga berinteraksi dengan perkakasan dan perisian aplikasi.

Sebagai tambahan, ia turut dipindahkan walaupun pengguna tidak log masuk atau memilih untuk tidak berkongsi maklumat bagi setiap sistem operasi.

iOS secara automatik mengumpul data daripada Siri, Safari dan iCloud untuk dihantar kepada Apple. Sementara data Android diperoleh daripada Chrome, YouTube, Google Docs, Safetyhub, Google Messenger, Clock dan Search, walaupun tanpa pengguna log masuk ke akaun Google.

Menariknya, iOS hanya menghantar kepada Apple sekitar 42-52KB data dalam tempoh 12 jam. Manakala, Android secara kasarnya menghantar 1MB data kepada Google dalam tempoh yang sama.

Di Amerika, Google dianggarkan mengumpul sejumlah 1.3TB data daripada pengguna setiap 12 jam, sementara Apple menerima 5.8GB data sahaja.

Bagi pihak Google, syarikat itu tidak bersetuju dan mendakwa terdapat kekurangan pada kajian yang dilakukan. Ia berikutan, Google menganggap penting untuk sesebuah peranti menghantar dan menerima data bagi memastikan perisian iOS dan Android yang terkini, perkhidmatan berfungsi dengan baik serta peranti selamat dan sebagainya.

Sumber: Ars Technica via 9to5Mac