Memetik laporan Awani, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dalam kajian untuk mewujudkan platform yang membolehkan orang awam mengenal pasti panggilan daripada ‘scammer’.
Menteri K-KOMM, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya juga sedang meninjau kaedah yang dilakukan oleh negara jiran Indonesia dan Thailand dalam mengurangkan risiko rakyat menjadi mangsa panggilan palsu.
Bagi melaksanakannya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menjemput beberapa pihak untuk membuat Proof of Concept (PoC). Ia bertujuan untuk menghasilkan satu ‘alat’ yang membolehkan orang awam membuat semakan apabila terdapat sesuatu panggilan yang dianggap sebagai scam. Beberapa pendekatan juga akan digunakan bagi mewujudkan platform tersebut.
Dalam pada itu, Annuar menyatakan kementerian juga sedang dalam proses untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang akan dibawa ke Parlimen dalam masa terdekat.
Pindaan tersebut adalah bertujuan bagi memperkasa penguatkuasaan membanteras isu pencerobohan data dan scam serta membabitkan beberapa penambahbaikan tertentu.