Pertama kali Apple lari sedikit daripada fitrah dan merendahkan ego mereka dengan memperkenalkan penggunaan USB-C pada iPad Pro dan juga MacBook.

Malah, iPad mini Gen 6 yang baru dilancarkan baru-baru ini turut sudah memakai USB-C. Namun, peranti iPhone masih belum mempunyainya walaupun ramai yang mahukannya.

Namun demikian, iPhone bukanlah tidak boleh hadir dengan port pengecasan selain lightning. Ini kerana seorang jurutera robotik bernama Ken Pillonel berjaya membangunkannya.

Secara asasnya, beliau membuat sedikit modifikasi dengan membuang port lightning dan menggantikannya dengan USB-C pada iPhone X. Bukan sahaja ia menyokong pengecasan tetapi juga untuk memindahkan data apabila disambungkan dengan komputer MacBook.

Bagaimanapun, menurut beliau proses yang dilakukannya bukan sesuatu perkara yang mudah dan agak berisiko jika tidak tahu caranya. Apa-apa pun, Pillonel mendakwa ia merupakan iPhone dengan USB-C pertama di dunia.

Terdahulu, Kesatuan Eropah (EU) telah membentangkan penggubalan undang-undang untuk menyeragamkan sistem pengecasan. Jika perkara tersebut berjaya, mungkin satu hari nanti kita dapat melihat iPhone yang hadir port USB-C.

Sumber: appleinsider

Baca juga: