Jika anda sudah bosan dengan tablet Windows atau Linux, tablet JingPad ini mungkin akan menarik minat anda kerana ia menggunakan sistem operasi Linux.

Tablet Linux? Apabila mendengar perkataan Linux apa yang muncul dalam kepala mestilah jargon-jargon teknikal seperti ‘server’, ‘terminal’ atau ‘sudo’. Tetapi ini bukan objektif JingPad. JingPad tidak mentargetkan golongan-golongan teknikal tetapi pengguna harian biasa sahaja.

Kerana ini, JingPad dikawankan dengan JingOs, sistem pengoperasian berasaskan Linux tetapi berinspirasikan iOS. Sekilas pandang pada papan pemuka JingPad, anda mungkin akan tertukar peranti itu dengan iPad.

JingPad A1

Ringkasnya, JingPad A1 didatangkan dengan paparan AMOLED 11 inci dengan resolusi 2K. Apa yang menarik, tablet ini turut didatangkan bersama papan kekunci yang mempunyai ‘trakpad’ boleh alih bersama dengan stylus. Macam sama seperti iPad kan?

 

Dari segi kamera pula, boleh dikatakan ianya biasa-biasa sahaja. Tablet JingPad A1 akan didatangkan dengan kamera belakang 16 Megapiksel dan 8 Megapiksel kamera hadapan; yang mana cukup sekadar mengambil gambar biasa atau untuk membuat panggilan video.

Lain-lain spesifikasi pula, tablet ini dikuasakan oleh cipsetĀ UNISOC Tiger T7510 8-teras; iaitu 4-teras Cortex-A75 berkelajuan 2.0GHz dan Cortex-A55 4-teras berkelajuan 1.8GHz bersama RAMĀ 8GB LPDDR4. Dari segi storan, ia dimuatkan dengan storan 256GB bersama sokongan untuk mikroSD. Tidak lupa juga kapasiti bateri 8,000 mAH.

Untuk spesifikasi penuh, boleh baca di sini: https://en.jingos.com/specs/

 

JingOS

Bahagian ‘hardware’ tidaklah merisaukan sangat tetapi apa yang paling penting adalah bahagian ‘software’ kerana bahagian ini yang akan menentukan adalah JingPad ini boleh digunakan sebagai peranti kegunaan harian ataupun tidak.

Kerana berasaskan Linux, JingOS perlu mencipta pelbagai aplikasi-aplikasi untuk menyokong kegunaan harian peranti tersebut. Antara ciri yang agak berbaloi untuk disebut adalah:

  • Mod tablet dan Mod desktop
  • Gestures bagi trakpad
  • Mempunyai ‘App Store’ tersendiri
  • Yang paling penting, boleh menjalankan aplikasi Android.

Di laman rasmi JingOS, mereka melabelkan diri mereka dengan berkata “anda boleh gunakan aplikasi desktop Linux untuk membuat kerja, dan gunakan aplikasi Android untuk hiburan”.

 

Setakat hari ini, JingPad boleh ditempah melalui Indiegogo, dan difahamkan ia masih lagi belum dibuka untuk pembelian tetapi kemaskini boleh didapati melalui laman produk Indiegogo itu. Bagaimanapun pra tempah dijadualkan akan berlaku pada 15/16 Jun ini.

Menurut beberapa laman web teknologi, tablet itu akan dijual pada tanda harga $549 (~RM2400) dan pengeluaran pertama dijadualkan akan berlaku pada bulan Ogos atau September ini.