Tahukah anda bahawa peranti dan barangan elektronik dikira sebagai sisa elektronik atau e-sisa (e-waste) apabila ia sudah tidak boleh lagi digunakan.

Di saat kita mencari peranti yang boleh tahan dalam air, lain pula ceritanya oleh para saintis dari Tianjin University. Mereka berjaya mencipta sebuah prototaip jam tangan pintar yang boleh larut di dalam air.

Berdasarkan hasil kajian mereka, ia dihasilkan dengan menggunakan bahan nanokomposit yang berasaskan zink dan ditambah dengan wayar nano perak. Kemudian, mereka mencetak larutan logam ke kepingan poli (vinil alkohol) – sebuah polimer yang akan bertindak balas apabila terkena air.

Luarannya juga diperbuat daripada polimer yang sama. Namun, tidak akan “hancur” jika terkena peluh. Oleh itu, apabila jam tangan pintar ini dilarutkan ke dalam air, skrin serta transistor atau mana-mana komponen dapat diambil untuk tujuan kitar semula dengan mudah.

Sesuai dengan misi dan objektif mereka dimana untuk mengatasi masalah sisa elektronik. Tambahan lagi, ia juga hanya mengambil masa selama 40 jam sahaja sebelum ia larut sepenuhnya.

Buat pengetahuan anda, walaupun rupa paras jam tangan pintar ini tidak segah Apple Watch mahupun Samsung Galaxy Watch tetapi ia masih hadir dengan fungsi pemantauan jantung, jejak langkah, oksigen dalam darah SpO2 serta boleh hantar maklumat ini ke telefon pintar melalui sambungan bluetooth.

Sumber: eurekalert, chemistryworld

Baca juga: