Menjawab artikel yang tular bertajuk “NGO desak Selangor Batal Hasrat Kenakan Tambang Bas PJ Pada Warga Asing”, pihak SSDU Innovations Sdn. Bhd. (SSDU) menjelaskan, caj tambang perkhidmatan bas serendah RM0.90 kepada warga asing telah lama diperkenalkan sejak Mac 2021 lagi.
Pelaksaan caj itu dibuat bersama bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain selain Petaling Jaya dan ianya bukanlah satu diskriminasi atau penindasan yang dikenakan kepada warga asing.
Malah SSDU menegaskan bahawa caj RM0.90 itu amatlah rendah jika dibandingkan dengan kelengkapan bas yang mempunyai penghawa dingin, selesa, dan bersih.
SSDU menyatakan, inisiatif kemudahan ‘Bas Smart Selangor’ adalah sebagai pengangkutan awam yang selesa dan percuma ditawarkan khususnya kepada warganegara Malaysia yang berada di Negeri Selangor.
Justeru, perkhidmatan bas Smart Selangor secara percuma kepada warganegara ini sepatutnya dilihat sebagai satu inisiatif ‘eksklusif’ di bawah kerajaan Negeri Selangor untuk rakyat menikmati limpahan kemudahan awam yang disediakan.
Sementara langkah mengenakan caj kepada warga asing pula sebenarnya adalah satu kaedah biasa sesebuah kerajaan bagi membezakan keistimewaan antara warganegara dan rakyat asing menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak kerajaan.
Persamaan ini boleh dilihat sama seperti perkhidmatan Hospital atau Klinik Kesihatan dimana caj juga dikenakan agak berbeza kepada warga asing.
Sumber: Media SSDU