Sejak pelancaran siri iPhone 12 pada tahun lalu, tidak banyak perubahan ketara yang kita lihat selain kamera, sensor LiDAR, rangkaian 5G serta rekaan ‘baharu’.

Namun, Apple dijangka akan mengemaskini peranti iPhone pada tahun ini dan ciri yang paling diperlukan tetapi hilang pada siri iPhone adalah imbasan cap jari.

Kali terakhir ciri ini hadir adalah pada iPhone SE (2020) dan selain daripada itu, hanya Face ID sahaja yang digunakan.

Tambahan lagi, dengan situasi yang melanda dunia masa kini, Face ID sangat tidak praktikal dan menyusahkan pengguna kerana perlu memasukkan kata laluan atau membuka pelitup muka.

Sepatutnya, perkara ini tidak menjadi masalah kepada syarikat gergasi dunia ini kerana peranti Android lain dengan tanda harga lebih murah pun sudah hadir dengan ciri ini sejak sekian lama.

Laporan daripada Bloomberg juga menyatakan bahawa Apple tidak akan membuang Face ID pada iPhone tetapi mungkin mereka akan membuang port pengecasan demi menggalakan pengecasan tanpa wayar.

Dalam pada itu, Apple turut dijangka akan memperkenalkan iPhone boleh lipat pada masa akan datang walaupun masih belum mengeluarkan lagi prototaip peranti tersebut.

Selain itu, iPad Pro 2021 juga mungkin akan hadir sekitar pertengahan tahun ini dengan menampilkan panel miniLED yang baharu.

Sumber: Bloomberg