Seperti yang diketahui, cip pemproses Samsung Exynos akan datang bakal dilengkapi GPU daripada AMD. Terbaru, Ice Universe melaporkan bahawa Samsung kini sedang menguji prestasi cip Exynos dengan AMD Radeon GPU dan teras Cortex-A77 CPU.

Melalui imej yang dimuatnaik di Twitter, cip tersebut diuji menggunakan aplikasi penanda aras 3DMark dan ia menerima skor sebanyak 8,134 dalam ujian Wild Life dengan purata kadar bingkai 50fps.

Sebagai perbandingan, iPhone 12 Pro Max yang dijana cip A14 Bionic dengan ujian yang sama hanya menerima skor sebanyak 7,442 dimana purata kadar bingkai 40fps.

Walau bagaimanapun, ia tidak didedahkan setinggi mana suhu cip tersebut capai semasa ujian dijalankan. Apa-apa pun, cip Exynos yang baharu ini mungkin bakal menjadi pesaing yang kuat dan bakal menawarkan prestasi yang cemerlang.

Namun begitu, jika Samsung mahu menyaingi prestasi grafik dari cip Apple M1, perjalanan mereka masih lagi jauh. Hal ini kerana terdapat laporan mengatakan Samsung juga mahu memuatkan cip Exynos dengan AMD pada komputer mereka.

Buat masa sekarang, kita hanya perlu menunggu ia diperkenalkan secara rasmi. Dijangkakan siri Galaxy S22 akan menjadi yang pertama menggunakannya.

Sumber: sammobile

Baca juga – Samsung Exynos Akan Ada “Ray Tracing”, Mungkin Diumum Tahun Ini

Baca juga – Samsung Bakal Guna Seni Bina ARMv9 Pada Cip Exynos Akan Datang

Baca juga – Samsung Exynos 2200 Mahu Bersaing Dengan Cip Apple M1