Awal tahun ini, SKMM menyatakan mereka tidak lagi memperakui peranti 3G dan hanya peranti 4G sahaja akan dibawa masuk ke Malaysia.

Kemudian, mereka turut mengumumkan untuk menamatkan rangkaian 3G menjelang penghujung tahun ini bagi memberi laluan untuk memperluaskan pemancar 4G.

Bagaimanapun, Opensignal melaporkan bahawa masih ramai pengguna di Malaysia yang bergantung dengan rangkaian 3G.  Oleh yang demikian, mereka telah memberikan 3 sebab utama kenapa perkara ini terjadi.

Menurut hasil data yang dikongsikan, 81.9% pengguna mempunyai peranti 4G dan berada di kawasan yang ada capaian 4G. Namun, mungkin mereka tidak naik taraf kad SIM 4G atau tiada langganan 4G dalam pelan yang dilanggan atau juga mematikan fungsi 4G di peranti.

Selain itu, sebanyak 12% pengguna hanya menggunakan peranti yang menyokong rangkaian 3G sahaja meskipun kawasan diduduki ada 4G. Opensignal menyatakan walaupun harga peranti 4G sudah mampu milik tetapi belum tentu semua orang masih mampu mengeluarkan wang sebanyak itu. Malah, golongan sebegini mungkin tidak cakna akan kelebihan rangkaian 4G.

Akhir sekali, sebanyak 5.6% pengguna mempunyai peranti 4G tetapi tinggal di kawasan tiada liputan tersebut. Manakala 0.5% tidak mempunyai peranti 3G dan tinggal di kawasan tiada 4G.

Apa-apa pun, rangkaian 4G perlu berada dalam keadaan stabil buat semua pengguna terlebih dahulu sebelum kita mula menggunakan rangkaian 5G di Malaysia.

Sumber: opensignal

Foto utama: digi

Baca juga artikel berkaitan: