Tahun ini kita dapat lihat corak permintaan telefon yang memfokuskan permainan mudah alih atau bahasa mudah telefon gaming semakin meningkat.
Manakan tidak, bermain game di telefon pintar lebih mudah jika nak dibandingkan memainkannya di komputer atau konsol.
Salah satu telefon gaming yang dinanti-nantikan pengguna di Malaysia adalah siri Black Shark 4 yang baru sahaja dilancarkan minggu yang lalu.
Spesifikasi yang ditawarkan kali ini amat menarik dengan menampilkan cip Snapdragon 888, storan sehingga 512GB, RAM juga hingga 16GB, pengecasan pantas 120W, skrin bersaiz 6.67 inci E4 AMOLED, kadar penyegaran 144Hz dan input sentuhan 720Hz.
Melihat kepada spesifikasinya sahaja sudah cukup ‘menggiurkan’ buat para gamer. Disebabkan ini juga, ramai dalam kalangan kita yang tidak sabar untuk memilikinya dan menjadi pertama yang menggunakannya dengan membeli secara import dari China.
Tidak dapat dinafikan yang mana keghairahan untuk membelinya tidak lain adalah faktor harga. Di China, telefon tersebut boleh didapatkan pada harga serendah ~RM1581 sahaja dan varian tertinggi pula hanya sekitar ~RM3353.
Namun, tahukah anda apa yang anda bakal tempuhi sekiranya membeli siri Black Shark 4 melalui set import?
CHINA ROM vs GLOBAL ROM
China ROM dan global ROM sering menjadi perdebatan hangat dalam kalangan pengguna Android. Ada yang menyukai China ROM dan ada yang sebaliknya. Bergantung kepada cita rasa masing-masing.
Bagi golongan yang sudah mahir atau arif tentang selok-belok Android ini mungkin tidak menjadi masalah kerana pasti anda akan berkata untuk “flash” sahaja dari China ROM kepada global ROM.
Walau bagaimanapun, inilah perbezaan yang sebenarnya anda tidak tahu dimana siri Black Shark 4 kali ini telah dipertingkatkan ciri keselamatannya.
Bermakna, set dari China ini akan terus menyekat segala aplikasi pemasangan pihak ketiga dalam mendapatkan fungsi GMS.
Anda juga sudah tahu dimana segala telefon di China tidak hadir dengan aplikasi-aplikasi Google seperti Gmail, Chrome dan sebagainya kerana di negara tersebut gemar menggunakan aplikasi mereka sendiri. Malah, Play Store juga tidak wujud di dalam set China ini.
Seperti yang telah diperkatakan di atas, China ROM pada telefon Black Shark tidak akan membenarkan pemasangan GMS dari pihak ketiga.
Tambahan lagi, mungkin ada yang berjaya memasang GMS secara tidak sah atau secara haram akan tetapi, masalah baru pula yang akan timbul.
Hal ini kerana akan wujudnya GMS yang tidak matang pada telefon anda. Oleh yang demikian, aplikasi Play Store yang merupakan nadi Android masih lagi tidak dapat dipasangkan (install).
Selain itu, segala permainan yang anda cuba atau berjaya muat turun melalui pemasangan APK akan menghadapi beberapa masalah seperti crash atau tidak dapat digunakan.
Bahkan juga, masalah lain yang timbul adalah seperti fungsi GPS yang tidak berapa nak tepat dan terdapat beberapa aplikasi yang akan menerima notifikasi agak sedikit lewat.
Pada keseluruhannya, penggunaan telefon dengan China ROM di Malaysia amat kurang praktikal dan sedikit menyusahkan bagi sesetengah individu.
Jaminan (Warranty)
Jaminan atau warranty sangatlah penting bagi sebahagian pengguna terutama apabila membeli telefon secara import dari China.
Setiap pembeli tidak mahu mengambil sebarang risiko sekiranya telefon yang dibeli itu menghadapi masalah ketika menggunakannya selepas beberapa bulan.
Meski pun begitu, set import ini masih lagi telefon yang asli (original), akan tetapi jika timbulnya sebarang masalah terhadap telefon, pengguna perlu menghantar semula ke tempat yang dibeli.
Walaupun terdapat pihak penjual yang masih boleh membantu pembeli, tetapi agak tidak seronok sekiranya kita perlu menunggu masa yang lebih lama dalam menerima baik pulih.
Oleh itu, membeli set global atau set yang rasmi di Malaysia adalah lebih mudah serta tidak memeningkan kepala pembeli.
Anda tidak perlu risau walaupun harganya sedikit tinggi tetapi apa yang penting adalah pengalaman penggunaan lebih selesa di samping dapat jaminan yang lebih baik dari pihak Black Shark di Malaysia.
Sekiranya anda berminat untuk memiliki siri terbaharu Black Shark 4 ini, anda perlu menunggu sedikit sahaja lagi sebelum ia rasmi buat pasaran tempatan.
**Artikel Ini Dibawakan Oleh Black Shark Malaysia