Penggunaan media sosial dalam kalangan remaja memang tidak boleh dihalang memandangkan masing-masing sudah memiliki telefon pintar dan akses internet.

Namun, disebabkan ini juga, golongan remaja mudah terdedah dengan ancaman individu tidak dikenali terutama buat wanita. Oleh yang demikian, Instagram hari ini mengumumkan ciri baharu bagi meningkatkan privasi buat remaja bawah umur.

Menerusi ciri privasi tersebut, Instagram hanya membenarkan remaja 13 tahun ke atas sahaja boleh mencipta akaun. Dari segi had umur, ia berbeza mengikut negara kerana terdapat negara yang menyatakan bawah 18 tahun adalah bawah umur dan ada juga bawah 16 tahun.

Selain itu, teknologi AI digunakan untuk mengenal pasti umur remaja. Walaupun remaja dapat menipu umur pada akaun, Facebook menyatakan AI ini dilatih untuk mengetahui sekiranya terdapat mesej ucapan “Happy 21st Bday!” dan sebagainya.

Tambah Facebook, tujuan mereka menawarkan ciri ini adalah untuk menghalang remaja menerima mesej daripada individu dewasa. Lihat sahaja sekarang, banyak remaja gemar mengejar populariti atau mahu menjadi pempengaruh (influencer).

Di samping itu, Facebook sedang berbincang dengan penyedia sistem operasi (OS), pelayar internet dan lain-lain bagi mengumpulkan data agar dapat mengetahui umur sebenar remaja.

Jadi, bermula minggu ini, mana-mana remaja bawah umur yang mencipta akaun Instagram, akaun mereka secara automatik diletakkan dalam tetapan ‘private’. Manakala pengguna sedia ada, mereka menerima notifikasi untuk berbuat demikian. Kata Facebook, hanya 80% sahaja remaja mahu menetapkan akaun dalam ‘private’.

Oleh yang demikian, apa pendapat remaja di luar sana tentang perkara ini? Adakah anda suka menerima ‘DM’ daripada individu yang tidak dikenali?

Sumber: Siaran Akhbar Facebook

Baca juga artikel berkaitan: