Kalau sebut tentang tren terpantas, sel-sel otak secara automatiknya akan teringat tentang shinkansen di Jepun yang mampu mencecah kelajuan sehingga 320 km/j.

Namun China sudah mula meningkat naik dalam lapangan ini dan terbaru, mereka sudah merekodkan kelajuan tren paling pantas di dunia. Ia dicapai melalui teknologi apungan magnetik (maglev) yang mana menurut laporan media, tren tersebut bergerak pada kelajuan 600km/j.

Tren yang dibangunkan di wilayah pesisir Qingdao itu disebut sebagai kenderaan darat terpantas seluruh dunia. Teknologi apungan magnetik sedia digunakan di China sejak 20 tahun yang lepas tetapi hanya dijalankan dalam skala kecil.

Melalui daya elektromagnet, tren maglev ‘terapung’ diatas landasan tanpa kontak antara badan dan rel. Dengan kelajuan sebegini rupa, perjalanan dari Beijing ke Shanghai dengan jarak lebih dari 1,200 kilometer hanya mengambil masa 2.5 jam sahaja. Sebagai perbandingan, kapal terbang memerlukan sekitar 3 jam sementara rel berkelajuan tinggi pula pada tempoh 5.5 jam untuk jarak sama.

Tren ini mampu membawa 10 gerabak dan setiap satunya boleh menampung sehingga 100 penumpang dalam satu-satu masa. Penggunaan tren maglev dikatakan mampu mengurangkan pencemaran bunyi serta kos penyelenggaran lebih rendah berbanding tren berkelajuan tinggi lain.

Sumber: Reuters