Pada tahun lepas, kita telah mendengar bahawa Sony mungkin akan mengembalikan semula siri Xperia Compact. Siri ini kali terakhir model yang dikeluarkan adalah Xperia XZ2 Compact pada tahun 2018. Selepas dari itu, tiada lagi model Compact dikeluarkan.

Sehubungan dengan itu, pelapor terkenal @Onleaks kini telah memuat naik imej janaan yang dikatakan Sony Xperia Compact yang akan dilancarkan tahun ini juga.

Menerusi dimensi 140 x 68.9 x 8.9mm, ia hadir dengan rekaan blok dengan skrin bersaiz 5.5 inci. Jika dibandingkan, Xperia Compact 2021 ini sebenarnya adalah hampir sama sahaja dengan iPhone SE 2020 (138.4 x 67.3 x 7.3 mm).

Apa yang menarik, Sony telah meletakkan takuk pada skrin hadapan telefon. Agak mengejutkan memandangkan selama ini Sony merupakan syarikat yang berdegil mahu terus menggunakan rekaan bezel tebal pada model telefon mereka.

Pun begitu, ia tidak bermaksud rekaannya lebih moden kerana masih ada dahi dan dagu agak tebal walaupun ada takuk padanya.

Melalui spesifikasi yang dilaporkan, takuk tersebut akan memuatkan kamera swafoto 8MP manakala bahagian belakang dibarisi dengan 2 unit kamera dengan 13MP utama.

Pada bahagian belakang tidak terdapat pengimbas cap jari kerana Sony meletakkannya pada bahagian sisi menerusi butang kuasa.

Buat masa ini, kita hanya boleh menjamah rekaan Xperia Compact 2021 sahaja disebabkan maklumat lain seperti spesifikasi cip, kapasiti bateri, dan lain-lain masih belum dilaporkan.

Pengenalan iPhone 12 mini kelihatannya turut menjadi faktor mengapa Sony mahu mengembalikan semula siri Compact ini.

Namun, persoalan utama adalah adakah masih ada lagi peminat siri Compact yang mahu telefon kecil sebegini pada tahun 2021?

Sumber: voice