OPPO sebentar tadi mengadakan acara Future Imaging Technology yang mana mereka memperlihatkan teknologi kamera baharu daripada mereka.

Antara yang diperlihatkan adalah sensor RGBW baharu, modul zum optikal lossless, penstabilan imej 5-paksi serta kamera di bawah skrin generasi baharu.

Melalui sensor RGBW yang baharu, OPPO mendakwa ia mampu meningkatkan sebanyak 60% cahaya dan mengurangkan 35% hingar (noise) ketika gambar diambil.

Ia turut dapat menghasilkan gambar dan video dengan warna yang lebih baik, seperti yang kita lihat pada mata kasar. Sensor ini bakal berada di pasaran sekitar suku keempat tahun ini.

Seterusnya, OPPO memberi penyelesaian kepada lensa telefoto dan periskop. Dua lensa yang sedia ada itu tidak begitu baik kerana kualiti gambarnya berkurang.

Jadi, mereka menawarkan zum 85mm hingga 200mm dengan menggerakkan lensa di dalamnya. Teknologi ini juga dapat mengelakkan hasil gambar yang tidak berapa tepat.

Selain itu, OPPO juga memperlihatkan teknologi penstabilan imej (OIS) 5-paksi. Teknologi ini adalah mirip sensor-shift yang ada pada siri iPhone 12 dalam memberikan kestabilan ketika menggunakan kamera. Teknologi ini akan hadir dalam peranti OPPO seawal tahun 2022.

Akhir sekali adalah teknologi kamera di bawah skrin, seperti yang mereka pamerkan pada beberapa minggu yang lalu. Akan tetapi, masih belum diketahui bilakah kamera di bawah skrin ini dilancarkan. Buat masa sekarang, Xiaomi dan Samsung pun sudah berani menawarkan teknologi ini dalam peranti mereka.

Baca juga: