Setelah 9 tahun menggunakan Macbook, saya boleh simpulkan bahawa Mac bukan sekadar perkakasan, ianya adalah ekosistem. Buktinya, selepas menggunakan Macbook untuk bekerja, saya automatik ‘terpaksa’ membeli iPhone untuk memudahkan kehidupan seharian. Dan tidak pernah terjangka, iPhone 7 Plus saya masih lagi berfungsi dengan elok biarpun sudah ‘berumur’ dan mungkin beberapa tahun lagi akan dinobatkan sebagai peranti antik oleh Apple.
Tapi kali ini, saya tidak mahu bercerita tentang iPhone. Saya mahu bercerita tentang Mac; tidak kiralah Macbook Pro/Air/Mac Mini dan lain-lain. Berbalik kepada point di perenggan satu tadi, Mac adalah ekosistem. Sepanjang pengalaman saya menggunakan Mac (Macbook Pro 13 2014 & Macbook Pro 15 2018), saya boleh katakan tidak lengkap pengalaman menggunakan Mac tanpa tiga langganan di bawah ini.
1 – Setapp
Setapp boleh dikatakan ‘pesaing’ kepada Apple Store walaupun mereka hanya sebuah syarikat yang kecil. Model perniagaannya mudah, pengguna cuma perlu membayar $9.99 sebulan dan akan diberi akses kepada pelbagai aplikasi-aplikasi yang berdaftar di bawah mereka. Setakat artikel ini ditulis jumlah aplikasi yang boleh pengguna muat turun di Setapp adalah sebanyak 235.
Antara aplikasi popular yang berdaftar dengan Setapp adalah Gemini, CleanMyMac, Boom 3D, MindNode, TablePlus dan lain-lain. Dan pihak Setapp juga sentiasa mengemaskini senarai aplikasi-aplikasi mereka.
Sekiranya anda seorang pembangun perisian atau seorang pereka grafik, Setapp mempunyai pelbagai aplikasi yang diletakkan dibawah mereka.
Pautan Setapp: https://setapp.com
2 – Apple One
Dengan harga bermula dari RM19.90(Individual), anda boleh dapat Apple Music, TV+, Arcade dan iCloud+. ‘No brainer’ dari Apple. Selain dari itu ada dua pakej lain yang berharga RM33.90(Family) dan RM69.90(Primier).
Saya sendiri secara peribadi menggunakan pakej Family yang berharga RM33.90 sebulan dan langsung tidak menyesal melanggan pakej itu kerana saya boleh berkongsi dengan lima orang ahli keluarga dan mendapat 200GB storan di iCloud. Jika nak dibandingkan, harga ala carte iCloud 200GB adalah RM11.90 dan jika ditolak semula, saya cuma membayar RM22 untuk servis TV+, Arcade dan juga Music.
Sebagai nota kaki bagi perbandingan, Spotify Family dihargakan pada RM24.90.
Pautan Apple One: https://www.apple.com/my/apple-one/
LastPass
Selalunya kita akan meletakkan perkataan-perkataan yang unik tapi senang diingati oleh diri kita sendiri sebagai katalaluan. Masalahnya, kaedah ini masih terdapat loophole kerana penggodam masih boleh cuba mencuri katalaluan itu dengan cara meneka, memeras ugut ataupun phishing. Antara solusi yang boleh digunakan untuk menutup loophole ini adalah dengan diri kita sendiri tidak tahu atau lupa kata laluan yang kita gunakan. Bunyi macam pelik, tetapi perkara ini tidak mustahil dengan adalah aplikasi pengurus kata laluan seperti LastPass.
LastPass adalah servis yang membolehkan pengguna menyimpan katalaluan dan membantu membuat autofill katanama dan katalaluan apabila penggunanya berada di laman web yang betul sekaligus mengelakkan phishing. Ini juga bermakna pengguna tidak perlu lagi menghafal katalaluan malah boleh meletakkan kata laluan yang random sahaja.
Saya sudah menggunakan LastPass (percuma) selama lebih 3 tahun dan ianya sangat memudahkan. Jika anda mempunyai peranti yang banyak; sebagai contoh; dua Macbook dan dua iPhone; anda boleh melanggan pelan LastPass yang bernilai $3 sebulan untuk individu atau $4 sebulan untuk keluarga supaya semua katanama dan katalaluan boleh disegerakkan ke semua peranti. Tapi jika anda mempunyai satu Macbook dan satu iPhone, LastPass ada menyediakan pelan percuma, selama-lamanya!
Baca tentang LastPass di pautan ini: https://www.lastpass.com
Bonus: Brew
Jika anda belum tahu, Homebrew atau brew adalah pengurus aplikasi-aplikasi open source yang boleh dimuat turun terus kedalam Mac anda dan ia adalah percuma sahaja. Namun, malangnya brew hanya boleh diguna menerusi terminal sahaja disebabkan tiada GUI rasmi untuk program ini serta kebanyakan aplikasi yang ditawarkan hanya boleh digunakan menerusi terminal sahaja.
Tetapi, jika anda seorang enthusiasts, anda boleh cuba menggunakan brew. Boleh periksa lebih mengenai brew menerusi pautan ini. Kebanyakan aplikasi yang ditawarkan oleh Homebrew ditujukan untuk pembangun perisian dan jika anda berminat untuk melihat senarai aplikasi yang popular di brew, boleh lihat menerusi pautan https://gist.github.com/pmkay/e09034971b6f23214fd9f95a3e6d1c44.