Tarikh pelancaran Xiaomi Mi 11 bukan lagi rahsia. Seperti yang diketahui, peranti pertama dengan janaan cip Snapdragon 888 ini akan diperkenalkan secara rasmi pada 28 Disember 2020. Walaupun begitu, Xiaomi masih lagi berteka-teki mengenai rekaan Mi 11.

Terbaru, hanya beberapa hari menjelang pelancarannya, imej sebenar Mi 11 kini tertiris di laman web Weibo. Menerusi perkongsian imej tersebut, ia memperlihatkan rekaan hadapan dan belakang, serta spesifikasi utama yang akan dimuatkan pada peranti ini.

Gambar Mi 11

Bahagian belakang peranti mempunyai modul kamera berbentuk empat segi dengan tetapan tiga lensa serta lampu LED. Seperti yang diperlihatkan, peranti ini mempunyai 108MP kamera utama. Selain itu, ia mendedahkan Mi 11 turut hadir dengan pilihan panel belakang dari jenis kulit. Butang kuasa dan pelaras suara ditempatkan pada sisi kanan.

Di bahagian hadapan pula memperlihatkan paparan melengkung dengan bezel yang nipis. Namun, bahagian atas yang menempatkan kamera swafoto tidak didedahkan.

Dari segi spesifikasi, imej tersebut turut mendedahkan Mi 11 akan menampilkan pemproses 8 teras 2.84GHz, 12GB RAM dan MIUI 12 berasaskan Android 11.

Sudah pasti, lebih banyak maklumat rasmi mengenai peranti ini akan diumumkan pada pelancaran 28 Disember nanti.

Sumber: Gizmo China