Cuma tinggal lebih kurang satu minggu sahaja lagi sebelum LG melancarkan peranti premium terbaru mereka, LG V40 ThinQ yang dijadualkan pada 3 Oktober ini.
Seperti kebiasaannya, semakin hampir peranti itu dengan tarikh pelancarannya, semakin banyak maklumat mengenainya tertiris atas talian. Baru-baru ini, satu gambar yang dilaporkan imej sebenar LG V40 ThinQ turut tersebar di arena internet.
Kredit : @evleaks
Menurut imej tersebut, LG V40 ThinQ ini akan hadir dengan lima kamera iaitu dua kamera swafoto dan tri-kamera utama. Selain itu, ia juga mempunyai rekaan skrin bertakuk namun dalam imej berkenaan, ia kelihatan tersembunyi.
Peranti ini juga dijangka akan didatangkan dengan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 845, imbasan cap jari di belakang peranti serta saiz skrin yang lebih besar berbanding LG G7 sebelum ini. Untuk rekod, paparan skrin G7 adalah bersaiz 6.1-inci.
Memandangkan peranti ini akan diperkenalkan secara rasmi tidak lama lagi, kami menjangkakan lebih banyak maklumat mengenainya akan terdedah dalam masa terdekat. Maka, teruskan bersama kami untuk berita terkini dunia teknologi tempatan dan antarabangsa.
*Kemaskini
Ini video yang dimuat naik di laman YouTube LG Korea.