Sejak pandemik COVID-19 melanda dunia, ramai orang yang mula berurusan secara dalam talian. Di Malaysia juga, peningkatan peniaga yang berniaga ‘online’ juga dilihat positif.

Namun, disebabkan ini juga, kes penipuan kewangan atau jenayah siber turut makin berleluasa. Ramai rakyat Malaysia telah menjadi mangsa penipuan sejak PKP dilaksanakan.

Malah, scammer tidak melepaskan peluang mengambil kesempatan terhadap kebergantungan teknologi ini dan akhirnya kes penipuan kewangan paling kerap berlaku.

Menurut PDRM, sebanyak 67,552 kes penipuan siber telah dilaporkan di antara 2017 dan 20 Jun 2021 dengan mencatatkan kerugian hingga RM2.23 bilion. Daripada itu, kes penipuan pembelian dalam talian merekodkan kes tertinggi sebanyak 23,011 kes. Ia diikuti kes pinjaman tidak wujud sebanyak 21,008 dan kes penipuan pelaburan sebanyak 6,273.

Hari ini, PDRM dan Facebook Malaysia bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, industri dan persatuan pengguna telah melancarkan kempen #TakNakScam.

Sesuai dengan nama diberi, ia bertujuan untuk mendidik orang ramai tentang cara untuk mengelakkan diri agar tidak mudah ditipu apabila berada di internet.

Oleh itu, orang ramai diseru untuk mengikuti 3 langkah seperti berikut:

  1. Kenal Pasti – Anda perlu sentiasa berwaspada dan berhati-hati terutama ketika berurusan dengan kontak yang tidak dikenal pasti. Jika tidak, anda mungkin berisiko menjadi mangsa scammer.
  2. Semak – Sekiranya anda mengesyaki sesuatu kandungan atau kontak yang merupakan penipuan, buat semakan dengan pihak berkuasa melalui saluran-saluran rasmi.
  3. Lapor – Jika ada panggilan telefon yang aneh atau anda berasa telah menjadi mangsa jenayah, boleh terus hubungi pihak berkuasa tempatan dan polis. Pastikan untuk melapor sebarang aktiviti, individu atau akaun yang mencurigakan kepada pihak Facebook, Instagram atau WhatsApp.

Selain itu, orang awam turut boleh menghubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559 dan 03-26101599 antara jam 8 pagi hingga 8 malam setiap hari.

Bagi mengetahui maklumat lebih lanjut mengenai kempen ini, tekan pautan ini.

Sumber: Siaran Akhbar Kempen #TakNakScam

Baca juga artikel berkaitan: