Model pertama dalam siri Huawei Nova 8 telah diperkenalkan melalui Nova 8 SE pada awal November lalu. Kini, model lebih berkuasa dilancarkan iaitu Huawei Nova 8 dan Nova 8 Pro.

Perkara paling ‘menarik’ pada kedua-dua model ini adalah rekaan modul kamera berbentuk telur. Ia merupakan antara kamera terawal yang menggunakan modul kamera dengan rekaan sebegini.

Huawei Nova 8

Huawei Nova 8 membawakan skrin OLED 6.57 inci FHD+ dengan kadar segar semula 90Hz. Dalam skrin itu juga diletakkan kamera swafoto berlubang 32MP di bahagian tengah dan juga pengimbas cap jari.

Bahagian belakang pula dimuatkan dengan kamera utama 64MP selain 8MP sudut lebar dan 2MP makro/depth.

Ia dikuasakan oleh Kirin 985 bersama-sama 8GB dan storan dalaman sehingga 256GB. Untuk sistem pengecasan, kapasiti bateri sebanyak 3,800mAh dimuatkan dengan sokongan pengecasan pantas 66W.

Terdapat 4 pilihan warna yang diberikan iaitu perak, ungu, hijau, dan hitam. Harga jualan adalah bermula CNY 3,299 (~RM2,050) dan dijual di China sahaja buat masa ini.

Huawei Nova 8 Pro

Huawei Nova 8 Pro mempunyai skrin lebih besar 6.72 inci OLED FHD+ dan juga lebih pantas dengan 120Hz. Daripada swafoto tunggal, kini terdapat lubang pil pada skrin dengan sensor 16MP utama dan 32MP sudut lebar. Masih terdapat pengimbas cap jari pada skrinnya.

Konfigurasi kamera belakang masih sama dengan Huawei Nova 8 iaitu kamera utama 64MP selain 8MP sudut lebar dan 2MP makro/depth.

Bateri adalah sedikit lebih besar pada 4,000mAh dan pengecasan 66W yang sama. Cip yang dijana juga masih sama iaitu Kirin 985.

Huawei Nova 8 Pro dijual bermula CNY 3,999 (~RM2,483) juga dengan 4 pilihan warna yang sama – perak, ungu, hijau, dan hitam.

Kita mungkin akan melihat siri Huawei Nova 8 ini ke pasaran Malaysia tidak lama lagi memandangkan Huawei juga aktif memasarkan telefon-telefon terkini mereka ke pasaran tempatan.