Huawei mungkin sudah mula tidak mendapat tempat bagi pasaran telefon pintar mereka. Namun, banyak lagi produk yang dapat menyelamatkan mereka daripada hanyut dan salah satunya adalah komputer riba.

Ketika bermulanya pandemik dan keadaan yang memaksa bekerja serta belajar dari rumah, komputer riba sangatlah penting. Siri Huawei D14 atau D15 antara nama yang disebut-sebut juga kerana beberapa faktor yang menarik.

Jadi, tahun ini Huawei mengemaskini kembali Huawei MateBook D15 dengan spesifikasi baharu tetapi pada harga yang mampu milik.

Baca juga – ASUS ZenBook Duo 14 – Satu Laptop Dua Skrin

Spesifikasi

  • Intel Core i5-1135G7
  • Intel Iris Xe Graphics
  • 16GB RAM
  • 512GB SSD
  • Bateri 42Wh dengan pengecasan pantas 65W melalui USB-C

Model yang kami terima ini adalah yang paling tertinggi sekali, baik dari segi cip pemprosesan dan juga grafik. Melihat pada spesifikasinya, sudah cukup memberi gambaran kepada anda bahawa ia dapat memenuhi keperluan. Sama seperti situasi telefon pintar yang tampil dengan Snapdragon 888.

Cip ini mempunyai 4 teras dengan 8 bebenang dan ia digandingkan pula bersama-sama Intel Iris Xe Graphic dimana bukan sahaja boleh melakukan tugasan di aplikasi Office tanpa sebarang masalah, memainkan permainan video game yang ringan-ringan seperti Dota 2, Valorant, CS:GO, Rocket League juga boleh.

Dari segi sambungan internet juga baik kerana adanya WiFi 6. Untuk bateri pula, ia adalah sekitar 4 hingga 5 jam. Pun begitu, tidak perlu risau kerana palam pengecas seperti telefon pintar, mudah untuk dibawa dan tiada wayar yang berserabut.

Rupa Macam Dia Tapi Bukan Dia

Seperti yang diketahui, komputer riba Huawei boleh dikatakan mengambil inspirasi daripada Apple MacBook. Tubuh komputer riba ini diperbuat dari aluminium dan berwarna Mystic Silver.

Walaupun ia nampak besar tetapi masih lagi ringan kerana beratnya hanya 1.5kg sahaja (tanpa HDD). Pada bahagian sisinya, boleh diberikan sedikit pujian kerana Huawei tidak kedekut dengan menawarkan USB-C untuk mengecas dan memindahkan fail.

Di sisi kiranya lagi, diberikan juga 1 USB 3.0 berserta HDMI. Sementara sisi kanan pula, 2 USB 2.0 dan 1 bicu audio (headphone jack). Pada bahagian bawah, terdapatnya lubang pengudaraan agar haba panas dapat dikeluarkan.

Puas Untuk Layan YouTube, Netflix

MateBook D15 lengkap dengan skrin berukuran 15.6 inci beresolusi 1920x1080p FHD dengan menggunakan panel IPS. Dengan saiz paparan sebegitu, resolusi pada panel IPS ini dapat memberikan kepuasan terutama ketika menikmati video di YouTube atau Netflix.

Selain itu, dwi-pembesar suara terbina juga kedengaran sedap di telinga. Mudah kata, hari minggu boleh jadi lengkap ketika untuk berehat sambil menonton rancangan kegemaran.

Papan Kekunci Bukan Untuk Gamer

Kebiasaannya komputer riba yang bersaiz besar ini, susun atur papan kekunci (keyboard) akan terdapatnya numpad. Papan kekunci MateBook D15 ibarat kompak.

Seperti yang dinyatakan pada awal tadi, pengaruh daripada Apple itu masih ada. Hal ini kerana susun atur sebegini sebenarnya memudahkan untuk tugasan-tugasan pejabat atau pelajar yang mahu membuat assignment.

Malah, ketika menaip juga ia terus mendapat input. Dalam erti kata lain key travel sangat cepat. Namun, jika anda gamer tegar yang menggunakan papan kekunci mekanikal serta blue switch, mungkin papan kekunci sebegini agak kekok apabila digunakan.

Trackpad pada komputer riba ini juga terasa sedapnya. Jadi, tiada masalah sekiranya menggunakannya tanpa adanya tetikus (mouse).

Selain itu, imbasan cap jari juga terbina pada bahagian atas kanan komputer riba ini. Pada pendapat kami, setiap komputer riba bermula tahun 2021 perlu ada fungsi tersebut kerana bukan sahaja memudahkan, tetapi jauh lebih selamat.

Dibina Khusus Pengguna Tegar Huawei

Seperti jenama-jenama lain, ekosistem amat dititikberatkan. Komputer riba ini mempunyai fungsi multi-screen collaboration.

Fungsinya adalah apabila telefon pintar Huawei disambungkan pada komputer riba ini, paparan daripada telefon akan dipaparkan pada skrin komputer.

Tidak terhenti disitu, fungsi drag and drop fail dari komputer ke telefon atau sebaliknya.

Baca juga – (Ulasan) Acer Swift 3x – Main Game Dengan Kad Grafik Khusus Pertama Dari Intel, Iris Xe Max

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, Huawei MateBook D15 2021 mencapai jangkaan bagi individu yang mahukan sebuah laptop yang ringan, mudah dibawa tapi dapat beri prestasi yang baik.

Kekurangan dilihat apabila tiadanya pencahayaan pada papan kekuncinya. Kita tidak meminta lampu RGB tetapi cukuplah backlit berwarna putih. Ini kerana ia sangat membantu bagi yang suka menggunakan laptop dalam gelap.

Satu lagi perkara yang kurang senang adalah webcam masih lagi berada pada papan kekunci. Kami faham yang mana Huawei berbuat demikian disebabkan mahu bezel yang nipis pada skrin.

Akan tetapi kedudukan kamera tersebut sedikit mengganggu ketika Google Meet atau Zoom, ia menampakkan lubang hidung atau double chin.

Sekiranya anda berminat, komputer riba ini dijual pada harga bermula RM2599 untuk varian paling rendah (i3+8GB+256GB+Intel UHD).

 

Klik pautan di bawah untuk beli Huawei Matebook D15 2021:

Lazada - https://invol.co/cl4gwpg

Shopee - https://invol.co/cl4gwrh