Huawei kini dilaporkan dalam pembangunan menghasilkan sistem pengecaman wajah untuk memantau dan mengesan etnik Uyghur di China.

Berdasarkan laporan, dokumen yang dijumpai melalui carian Google memperlihatkan perincian mengenai pembangunan sistem dengan kerjasama pemula dari China, Megvii yang pakar dalam pembangunan pengecaman wajah. The Washington Post turut mengesahkan kesahihan dokumen tersebut.

Menerusi dokumen itu, ia menyenaraikan puluhan “fungsi asas sistem pengecaman wajah Megvii” yang “disahkan oleh Huawei”, termasuk “Uyghur Alarm” yang telah melepasi keputusan ujian.

Dalam kotak berasingan, laporan itu menyatakan bahawa sistem yang dibangunan juga mempunyai sokongan pengecaman berasaskan umur, jantina, etnik dan sebagainya.

Selain itu, dokumen tersebut turut memperlihatkan sistem yang dibangunkan dijana cip NVIDIA Tesla 4. Tidak diketahui jika NVIDIA mengetahui cip ini digunakan untuk tujuan tersebut atau sebaliknya.

Sebagai respon selepas laporan mengenai perkara ini disiarkan, jurucakap Huawei telah menyatakan laporan tersebut adalah ujian dan belum digunakan dalam mana-mana aplikasi secara nyata. Tambahnya,

“Huawei only supplies general-purpose products for this kind of testing. We do not provide custom algorithms or applications.

Huawei juga telah memadam dokumen tersebut. Bagi Megvii pula, pihaknya menyatakan sistem tersebut tidak dibangunkan untuk menyasarkan atau melabel kumpulan etnik.

Namun, kerjasama antara Huawei dan Megvii ini membuktikan bahawa kemungkinan lebih banyak syarikat lain yang membangunkan pengawasan video atau pengecaman wajah di China turut terlibat dalam penindasan etnik Uyghur.

Sumber: IPVM, The Washington Post