Baru-baru ini, Perbadanan Kota Buku (PKB) telah berjaya membangunkan aplikasi yang dikenali sebagai KPM eTextbook Reader. Menerusinya, ia memudahkan para pelajar sekolah untuk mendapatkan buku teks secara digital.

Selain itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga memaklumkan pelajar boleh mendapatkan buku teks digital yang diperlukan melalui portal textbook.moe.gov.my.

Kini, muncul pula pihak tidak bertanggungjawab dan mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan atas inisiatif yang disediakan. Menerusi tinjauan di Shopee, dapat dilihat ada pihak yang menjual semula buku teks digital ini serendah RM0.40.

Walaupun dijual pada harga yang rendah, ibu bapa atau pelajar adalah disarankan supaya tidak membuat pembelian dari sumber yang tidak sah. Tambahan pula, semua buku teks digital boleh sahaja dimuat turun secara percuma menerusi platform yang disediakan.

Bagi pelajar atau ibu bapa yang ingin mendapatkan aplikasi KPM eTextbook Reader, ianya boleh dimuat turun melalui peranti Android atau iOS.