Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah mengumumkan pelaksanaan sistem pembayaran tol terbuka di mana pembayaran menggunakan kad debit dan kredit boleh dibuat.
Walaubagaimanapun, buat masa ini hanya 5 lebuhraya sahaja yang terlibat di dalam sistem pembayaran terbuka ini iaitu Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie dan Jambatan Pulau Pinang.
Beliau menjelaskan, hanya 5 lebuhraya ini dipilih adalah bagi memastikan sistem baru ini dapat berfungsi dengan baik dan dilaksanakan secara tidak tergesa-gesa dan yang paling penting menguji sistem yang dicadangkan sebelum dilaksanakan sepenuhnya.
Beliau menyatakan, adalah menjadi hasrat Kementeriannya untuk melaksanakan sistem pembayaran terbuka di semua tol sepenuhnya di seluruh negara secepat mungkin, bagi melancarkan proses transisi kepada sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MULTI LANE FAST FLOW) atau lebih dikenali sebagai MLFF.
Dahulunya dikenali sebagai Multi Lane Free Flow (Aliran Bebas Pelbagai Lorong).
Penukaran maksud itu adalah bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan pengguna lebuhraya bahawa penggunaan tol adalah percuma.
Pelaksaaan MLFF bertujuan melancarkan trafik dengan pembayaran tol masih diteruskan.
Segala inisiatif yang sedang diusahakan ini berpaksikan kepada satu tujuan, iaitu menyelesaikan masalah rakyat selain memberikan kemudahan dan keselesaan kepada mereka.
Sebelum ini telah dilaporkan bahawa sistem pembayaran terbuka bagi membayar tol menggunakan kad debit dan kredit akan dapat dilaksanakan selewat-lewatnya September ini.
{suggest}
Sumber: KKR