Pada masa ini, Samsung dan Huawei mendominasi segmen pasaran telefon boleh lipat. Terbaru, Google, Xiaomi, vivo dan OPPO dilaporkan bakal memperkenalkan telefon boleh lipat pada tahun 2021.

Perkara ini didedahkan oleh penganalisis terkenal, Ross Young. Menurutnya, Samsung sekurang-kurangnya akan melancarkan tiga model telefon boleh lipat. Sebagai tambahan, Young menyatakan tiada model Z Fold Lite yang akan dilancarkan, namun kemungkinan akan adanya model Z Flip Lite.

Dalam masa yang sama, Google pula dikatakan bakal memperkenalkan satu model di bawah segmen yang sama.

Sebelum ini, Google telah pun dikhabarkan bakal memperkenalkan peranti boleh lipat seawal tahun hadapan. Pada tahun lalu, Google mengesahkan dalam usaha membangunkan protaip serta mempatenkan teknologi peranti boleh lipat. Dengan nama kod “Passport”, ia merujuk kepada “foldable” atau boleh lipat.

Sementara itu, sejumlah empat lagi model akan dilancarkan oleh Xiaomi, vivo dan OPPO. Ini bermakna, salah satu daripada jenama tersebut akan melancarkan dua model telefon boleh lipat.

Daripada tiga jenama ini, Xiaomi satu-satunya jenama yang pernah memperlihatkan demo telefon boleh lipat. Namun, kesemua jenama ini telah memfailkan paten bagi rekaan boleh lipat itu. Baru-baru ini, OPPO juga telah dilapor mempatenkan rekaan tersebut.

Sudah pasti 2021 akan menjadi lebih menarik dengan kehadiran lebih banyak pengeluar dalam segmen pasaran telefon boleh lipat.

Bagi anda pula, telefon boleh lipat dari pengeluar manakah yang dijangka bakal menarik perhatian anda? Tinggalkan komen anda.

Sumber: Ross Young