Google pada Mei lalu telah menawarkan sokongan mod gelap pada enjin carian Search di peranti Android dan iOS. Menerusinya, enjin carian Google Search akan berubah kepada mod gelap sekiranya pengguna telah menetapkan tema gelap pada bahagian tetapan sistem peranti Android 10 atau iOS 13 dan yang terbaru.

Terbaru, Google kini dilaporkan sedang menguji mod gelap pada enjin carian Google Search untuk versi desktop.

Menerusi ujian tersebut, ia memperlihatkan latar belakang gelap. Sementara itu, logo Google akan ditukarkan kepada warna putih berbanding yang terdapat pada masa ini dengan pelbagai warna.

Teks hitam pula berwarna kelabu, manakala warna biru yang berbeza dimuatkan untuk nama / pautan halaman. Ujian bagi mod gelap di enjin carian Search ini dilakukan bagi pelayar Chrome dan Firefox.

Buat masa ini, ia masih di peringkat ujian dan belum diketahui bila ciri ini akan dilepaskan kepada umum.

Sumber: 9to5Google