Rekaan laptop sedia ada memerlukan anda membuka skrin paparan secara manual menggunakan tangan. Bagaimana pula jika ia mampu dibuka secara automatik?
Idea laptop dengan bukaan automatik ini telah dipatenkan oleh Google dengan nama “Notebook Computer with Motorized Display Positioniong”. Berdasarkan paten tersebut, skrin paparan laptop akan terbuka secara automatik dibantu oleh engsel bermotor.
Untuk membolehkan ia berfungsi, pengguna hanya perlu menyentuh badan laptop dan sejurus selepas itu skrin paparan akan terbuka dengan sendirinya.
Selain daripada itu, bukaan skrin paparan laptop juga akan berubah-ubah secara automatik mengikut jarak wajah pengguna. Dengan itu, pengguna dapat melihat paparan dengan sudut yang bersesuaian.
Difahamkan bahawa Google sudah mempatenkan rekaan ini sejak 2013 yang lalu dan tidak dapat dipastikan sama ada syarikat itu benar-benar mahu menbangunkannya ataupun tidak. Jika ia dapat dibangunkan, laptop ini sememangnya dapat memberi kemudahan kepada golongan kurang upaya dalam melakukan tugasan.
Sumber: Patently Mobile