Google kini mengumumkan alamat bar pada Chrome akan menggunakan https:// secara default bermula Chrome 90. Dengan menggunakan HTTPS, ia bukan sahaja meningkatkan privasi, malah dapat meningkatkan kelajuan memuatkan laman web.

Ketika ini, pengguna Chrome yang menavigasi laman web secara manual kebiasaannya tidak memasukkan “http://” atau “https://”.

Sebagai contoh, pengguna sering menaip “wiser.my” berbanding “https://wiser.my” di alamat bar. Dalam kes ini, Chrome secara default akan memilih http:// sebagai protokol.

Dengan Chrome 90, pengguna akan disambungkan ke HTTPS secara automatik tanpa perlu dialihkan dari http:// ke https://. Bagaimanapun, untuk laman web yang tidak mempunyai sokongan HTTPS, ia akan kembali ke HTTP apabila percubaan untuk menyambungkan ke HTTPS gagal.

Bagi yang belum tahu, penggunaan HTTPS boleh melindungi pengguna dengan mengenkripsi lalu lintas yang dihantar ke rangkaian. Dengan itu, maklumat sensitif yang dimasukkan pengguna di laman web tidak dapat dipintas atau diubah oleh penggodam.

Buat masa ini, kemas kini Chrome 90 untuk desktop dan Android telah pun dilepaskan secara berperingkat. Untuk peranti iOS, Chrome 90 dijangka akan dilepaskan tidak lama lagi.

Sumber:  Google