Kemaskini 14 Disember 2020, 8.45 malam: Semua perkhidmatan Google telah kembali pulih seperti biasa, secara berperingkat. Untuk lebih lanjut, semakan boleh dibuat melalui Google Workspace Status Dashboard.

Artikel asal: Sebelum ini, YouTube dilaporkan mengalami masalah untuk mengakses pada aplikasi dan laman web. Tidak hanya Youtube, akses kepada pelbagai perkhidmatan Google yang lain termasuk Gmail, Google Doc dan Drive turut dilaporkan menghadapi masalah yang sama.

Berdasarkan Down Detector, lebih 40,000 laporan telah diterima di mana 80% daripadanya membabitkan masalah log masuk pada Gmail. Sementara itu, Google Drive pula telah menerima lebih 6,000 laporan yang melibatkan masalah untuk mengakses platform itu.

Menerusi tinjauan pada perkhidmatan Google, syarikat itu telah menyatakan beberapa platform berkenaan sedang menghadapi masalah. Bagaimanapun, sehingga artikel ini ditulis, Google masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut berhubung perkara ini.