Bersama-sama dengan pelancaran rasmi telefon boleh lipat Samsung, gergasi teknologi Korea Selatan itu turut menampilkan TWS terbaharu mereka, Galaxy Buds 2.

Ia tampil dengan rekaan lebih segar serta pembatalan hingar aktif atau ANC (sehingga 98%) melalui tiga mikrofon yang ada pada setiap belah fon telinga tersebut.

Galaxy Buds 2 menjanjikan audio dengan kelantangan yang lebih jelas, dan bass lebih mendalam. Ini dicapai menerusi pembesar suara dinamik dua hala, mirip seperti Galaxy Buds Pro sebelum ini.

Selain ANC, mod ambient juga diaktifkan untuk membolehkan pengguna mendengar bunyi sekeliling, serta teknologi mesin pembelajaran yang mampu menapis hingar sewaktu panggilan suara dibuat.

Bagi pengguna komputer, Samsung akan menyediakan aplikasi Galaxy Wearable untuk memudahkan pengguna mengawal bunyi serta equaliser pada fon telinga. Terdapat juga fungsi Auto Switch bagi membenarkan pertukaran lebih lancar antara peranti Galaxy, seperti telefon, table dan komputer riba.

Menurut Samsung, Galaxy Buds adalah fon telinga paling ringan dan kecil dengan berat sekitar 5g. Tambah 41.2g untuk bekas simpanan yang kesemuanya berwarna putih diluar. Bahagian dalam terdapat empat pilihan warna iaitu Graphite, White, Oliver Green dan Lavender. Samsung Galaxy Buds 2 diletakkan pada nilai $150 atau kira-kira ~RM636 mengikut tukaran matawang asing semasa.