Firma keselamatan siber, Malwarebytes baru-baru ini memaklumkan bahawa mereka turut menjadi mangsa serangan grup penggodam yang bertanggungjawab menyerang syarikat perisian teknologi SolarWinds tahun lalu.

Malwarebytes menyatakan mereka menyedari diserang oleh grup tersebut pada 15 Disember 2020 lalu.

Bentuk serangan yang dilakukan didapati adalah sama sepertimana yang berlaku terhadap SolarWinds iaitu menerusi kelemahan Azure Active Directory dan aplikasi meragukan dalam Office 365.

Walaubagaimanapun pihak Malwarebytes menyatakan bahawa hanya urusan perniagaan mereka terjejas dari serangan tersebut. Perisian keselamatan mereka tidak terjejas dengan serangan itu.

Pada lewat tahun lalu dilaporkan telah berlakunya serangan siber besar-besaran terhadap beberapa syarikat IT utama Amerika Syarikat yang dipercayai dilakukan oleh grup penggodam dari Russia.

SolarWinds adalah antara syarikat terbesar yang menjadi mangsa grup penggodam tersebut sehingga menjejaskan rantaian syarikat tersebut termasuklah agensi kerajaan A.S dan para pelanggan perniagaan syarikat itu di seluruh dunia.

Pihak keselamatan A.S menuduh serangan siber itu dilakukan oleh grup penggodam Russia yang sebelum ini dikenali sebagai “Cozy Bear tetapi kini dikenali sebagai ‘Dark Halo’ yang disokong oleh kerajaan Russia.

Sumber: Business Insider