Bila kita berborak tentang 5G, pelbagai topik boleh timbul. Ada yang bayangkan muat turun lebih laju, ada yang bayangkan komunikasi lebih berkualiti dan ada juga yang bayangkan ‘yahudi’ sedang memerhatikan mereka. Bergantung kepada pemahaman masing-masing.

Perlu kita sedar, 5G bukan hanya untuk main game lebih lancar, Ia lebih luas daripada itu. Antara salah satu rancangan menarik yang dilakukan di Australia adalah FireTank, jentera pemadam api yang boleh dikawal secara jarak jauh melalui sambungan 5G.

Baru-baru ini, kerajaan Australia telah mengumumkan sejumlah AU$20 juta bagi membiayai 19 projek 5G dalam negara itu. Rheinmetall Defence Australia dilapor menerima dana terbesar sekitar iaitu sekitar AU$1.5 juta.

Syarikat tersebut sedang membangunkan jentera pemadam api yang boleh beroperasi dalam misi penyelamatan berbahaya sewaktu kebakaran berlaku.

Difahamkan Fire Tank akan menggunakan jalur rendah 5G bagi menyokong fungsi kawalan jarak jauh. Teknologi yang dilengkapkan pada jentera ini akan berhubung dengan pusat kawalan melalui sistem pengurusan dan keselamatan.

Selain itu, projek ini juga akan dinilai dari segi prestasi dan faedah bagi sistem pengangkutan automatik berasaskan 5G.

Sumber: ZD Net