Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) Amerika Syarikat kini telah memfailkan saman kepada Facebook. Syarikat itu didakwa telah menjadi monopoli rangkaian sosial peribadinya secara tidak sah melalui tingkah laku anti persaingan selama bertahun-tahun.

Tuntutan FTC memfokuskan kepada pengambilalihan Facebook, terutama pembelian Instagram yang bernilai $1 bilion pada 2011. Sebagai tambahan kepada strategi pemerolehannya, Facebook didakwa menggunakan kuasanya untuk menghapuskan ancaman terhadap monopoli dan menyekat pertumbuhan pengguna bagi perkhidmatan pesaing. Menurut Ian Conner, Pengarah Biro Persaingan FTC,

“Facebook’s actions to entrench and maintain its monopoly deny consumers the benefits of competition. Our aim is to roll back Facebook’s anticompetitive conduct and restore competition so that innovation and free competition can thrive.”

FTC turut mengatakan Facebook telah menerapkan tingkah laku anti persaingan terhadap perisian pihak ketiga dan membuang beberapa akses di platformnya termasuk API. Pada 2013, Facebook telah menghentikan sokongan API yang digunakan oleh Vine.

Sebagai tambahan, FTC memohon injunksi kekal termasuk penjualan aset seperti Instagram dan WhatsApp. Mereka turut menuntut supaya Facebook dilarang mengenakan syarat anti persaingan kepada pembangun perisian serta mahukan Facebook memohon notis dan persetujuan terlebih dahulu bagi gabungan atau pengambilalihan pada masa akan datang.

Selain FTC, tuntutan saman yang berasingan turut difailkan oleh gabungan 48 negeri yang diketuai oleh Ketua Peguam New York, Letitia James.

Sumber: FTC via 9to5Mac