Sebelum ini telah dilaporkan bahawa penyedia perkhidmatan elektrik di seluruh negara menawarkan rebat kepada penggunanya di seluruh negara termasuklah pengguna domestik dan bukan domestik.

Ia berikutan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang terpaksa dilanjutkan bagi mengekang penularan COVID-19 di dalam negara.

Sehubungan itu, kerajaan telah mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dengan pemberian diskaun bil elektrik secara bersasar kepada pengguna domestik dan bukan domestik di Semenanjung dan Sabah.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini memaklumkan, diskaun pakej PEMULIH akan diberikan bagi jumlah penggunaan bulanan dari 1 Julai 2021 sehingga 30 September 2021.

TNB menjelaskan, pengguna akan dapat melihat diskaun di dalam bil elektrik yang bertarikh 15 Julai 2021 dan seterusnya. Bagi pengguna yang menerima bil bertarikh antara 1 – 14 Julai 2021, amaun diskaun (yang layak) untuk bulan Julai 2021 akan dimasukkan ke dalam bil bulan Ogos 2021.

Pelanggan yang menerima bil sepanjang bulan Julai 2021 akan menikmati diskaun PEMULIH mengikut bilangan hari penggunaan dalam bulan tersebut. Diskaun yang diberikan adalah selepas mengambil kira rebat ICPT sebanyak RM0.02 per kWj.

Untuk info lanjut, layari https://www.tnb.com.my/mco/pemulih