Discord melakukan penjenamaan semula dari sebuah aplikasi ruang sembang dalam permainan video kepada sebuah platform sembang seperti Skype. Tujuannya adalah untuk meningkatkan kesesuaian platformnya untuk mana-mana komuniti, bukan hanya komuniti gaming.
Berita tentang perubahan ini telah diumumkan dalam laman web Discord sendiri oleh CEO Discord, Jason Citron. Malah slogannya juga telah ditukar kepada “Your place to talk”. Citron menyatakan,
“Games are what brought many of you on the platform, and we’ll always be grateful for that. As time passed, a lot of you realized, and vocalized, that you simply wanted a place designed to hang out and talk in the comfort of your own communities and friends.”
Discord dilancarkan pada tahun 2015 dan ia merupakan sebuah platform sembang popular yang mempunyai lebih 100 juta pengguna aktif bulanan. Syarikat tersebut menyedari bahawa kebanyakan pengguna sama sekali tidak menggunakan platform ini dalam cara yang berkaitan dengan permainan.
Oleh itu, Discord mengatakan beberapa perubahan terhadap aplikasinya akan dilakukan bagi menyesuaikan pengalaman pengguna.