Baru-baru ini kerajaan telah mengumumkan pengedaran spektrum teknologi generasi kelima (5G) akan diterajui oleh Syarikat Bertujuan Khas yang akan dikawal selia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Terkini, MCMC mengumumkan Digital Nasional Berhad (DNB) adalah Syarikat Bertujuan Khas Kerajaan Malaysia yang akan melaksanakan infrastruktur dan rangkaian 5G di seluruh negara. DNB ini akan dilesenkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

Ini bermakna, DNB juga akan dikawal selia oleh MCMC, walaupun entiti berkenaan dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan.

Dari segi peranan, DNB akan menjadi pihak borong berkecuali (neutral), yang membolehkan syarikat telekomunikasi memberi tumpuan kepada teknologi terkini dalam menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pengguna.

Sementara itu, pengawalseliaan dan pemantauan DNB akan dilakukan oleh MCMC bagi memastikan penggunaan spektrum secara optimum.

Sebagai tambahan, syarikat telekomunikasi juga dapat memperolehi capaian kepada perkhidmatan rangkaian 5G secara borong untuk penyediaan perkhidmatan runcit berlandaskan teknologi 5G dengan terbuka, saksama dan adil.

Sumber: MCMC