Digi baru-baru ini mengumumkan kerjasama selama dua tahun dengan MERCY Malaysia untuk membantu petugas barisan hadapan dalam perubatan di Sabah.

Ia bermula dengan sumbangan wang tunai sebanyak RM1 juta sebagai sebahagian daripada inisiatif industri yang lebih besar untuk menyokong pelbagai program untuk komuniti.

Sebanyak RM250,000 disalurkan terlebih dahulu pada awal bulan ini dalam usaha bantuan kecemasan di Sabah yang merupakan salah satu negeri paling teruk dijangkiti COVID-19.

Dana yang disumbangkan adalah bantuan kesihatan termasuk bekalan perubatan, set PPE, peralatan berkaitan ICU dan alat ujian cepat antigen, bekalan makanan untuk masyarakat serta menyokong sukarelawan.

Selain itu, sebagai bantuan tambahan, Digi juga memberikan internet 1GB percuma setiap hari bagi penduduk mengakses berkaitan pendidikan, produktiviti dan juga perkhidmatan.