Sempena Hari Orang Kurang Upaya Sedunia 2020 yang disambut baru-baru ini, Digi telah mengumumkan laman web dan aplikasi MyDigi telah ditambah baik dengan keupayaan akses untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada komuniti kurang upaya penglihatan di Malaysia.

Penambahbaikan keupayaan akses terhadap titik sentuh digital ini berpandukan piawaian antarabangsa bagi pengguna yang mempunyai masalah penglihatan seperti buta, penglihatan terhad, rabun warna dan disleksia. Ianya melibatkan penambahbaikan terhadap reka bentuk, fungsi, kandungan serta platform teknologi Digi yang terkini seperti pembaca skrin, jurubahasa audio dan video.

Selain itu, Digi turut memperkenalkan Inclusive Digital Touchpoints Playbook dengan kerjasama Dialogue in The Dark (DID) dan Make It Right Movement (MIRM).

Ia merupakan buku panduan yang mengandungi maklumat bermanfaat mengenai penyelidikan dan maklum balas langsung daripada komuniti OKU. Terdapat beberapa input praktikal termasuk cara menilai kesesuaian laman web sedia ada, alat untuk mengesahkan keberkesanan dan contoh praktis terbaik bagi laman web dan aplikasi yang boleh diakses.

Untuk maklumat lanjut mengenai Inclusive Digital Touchpoints Playbook Digi, layari laman web Digi.