Penyedia perkhidmatan telekomunikasi Digi dan Celcom telah berjaya menyiapkan pembinaan 3 menara telekomunikasi di 3 lokasi iaitu di Panching Timur, Felda Bukit Sagu 2 dan sekitar persimpangan Gambang Interchange yang terletak di bawah Parlimen Paya Besar, Kuantan, Pahang.

Pembinaan 3 infrastruktur telekomunikasi itu dengan kawal selia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membolehkan penduduk di beberapa buah kampung seperti Felda Panching Timur, Felda Bukit Sagu 1, 2 dan 3, Taman Rakyat Gambang, Masjid Gambang dan kawasan perindustrian Gambang serta persekitarannya menikmati jaringan telekomunikasi yang lebih baik.

SKMM memaklumkan, usaha menambah baik jaringan telekomunikasi di kawasan itu akan diteruskan di mana sebanyak 19 buah menara baharu lagi akan dibina di dalam kawasan Parlimen Paya Besar.

Menara-menara itu akan mula dibina seawal bulan Ogos 2021 depan dan dijangka siap secara berperingkat antara bulan Mac hingga Jun 2022.

Tidak setakat itu, kerja-kerja menaik taraf perkhidmatan rangkaian 3G kepada 4G juga telah dirancang untuk dilaksanakan yang akan melibatkan sebanyak 65 stesen pemancar di seluruh kawasan Parlimen Paya Besar.

Kerja-kerja naik taraf dijangka bermula pada bulan Ogos 2021 dan siap secara berperingkat sehinga Mac 2022.

Malah pada masa yang sama, sebanyak 4,545 buah premis di Parlimen Paya Besar juga akan terlibat dalam kerja naik taraf teknologi lama berasaskan kabel tembaga kepada rangkaian gentian optik.

Inisiatif itu telah pun bermula semenjak suku pertama tahun 2021 dan dijangka siap secara berperingkat menjelang suku kedua tahun 2022 bergantung kepada ketersediaan infrastruktur sedia ada.

Sumber: SKMM