Permainan yang dihebah-hebohkan akan hebat, Cyberpunk 2077 nampaknya bermula dalam situasi yang tidak baik.

Mana tidaknya, satu persatu masalah berkaitan permainan ini timbul seperti penarikan keluar dari PlayStation Store oleh Sony serta isu kualiti permainan tersebut di konsol permainan.

Kini timbul satu lagi isu terbaru berkaitan judul permainan ini iaitu manipulasi oleh penggodam yang menggunakan judul Cyberpunk 2077 bagi menyebarkan perisian hasad ke dalam peranti Android.

Pertama kali dikesan oleh penyelidik keselamatan dari Kaspersky bernama Tatyana Shishkova, beliau mengesan ransomware mensasarkan peranti Android yang menawarkan muat turun aplikasi permainan dengan menyamar menggunakan judul Cyberpunk 2077.

Judul permainan palsu itu dikesan ditawarkan di laman yang menyerupai Google Play Store.

Menurut penyelidik, apabila permainan palsu itu dimuat turun dan dipasang ke dalam peranti Android, akan muncul mesej memaparkan bahawa peranti itu sudah dijangkiti dengan ransomware CoderWare.

Seterusnya pengguna akan diminta membayar sebanyak 500 Bitcoin bagi membuka semula peranti yang sudah dikunci oleh ransomware tersebut.

Oleh itu pengguna Android diminta berhati-hati supaya tidak terpedaya dengan penawaran aplikasi permainan yang menggunakan judul permainan tersebut.

Sumber: ThreatPost