Saban tahun kita disajikan dengan telefon pintar yang rata-ratanya mempertaruhkan sistem kamera berbilang lensa. Hampir 1/3 panel belakang dimuatkan dengan modul kamera. Contoh seperti Xiaomi Mi 11 Ultra dan Sharp Aquos R6. Semakin luas kawasan kamera yang terdedah dengan risiko calar.

Bahagian depan dan belakang mungkin selamat kerana ada perlindungan dari sarung dan Corning Gorilla Glass, tetapi kawasan modul kamera itu masih menjadi kerisauan sesetengah daripada kita. Kalau diletakkan dengan set pelindung dari pihak ketiga yang biasa kita boleh beli dari Shopee, mungkin hasil gambar akan terganggu.

Sebagai jalan penyelesaian, Corning baru-baru ini telah mengumumkan Gorilla Glass with DX serta Gorilla Glass with DX+. Ia merupakan kaca perlindungan khas untuk bahagian lensa yang dijanjikan dengan teknologi termaju, tahan calar, serta lasak bak kata Corning.

Namun begitu bahan binaan ini bukanlah perkara baru dimana ia sedia dilancarkan sejak 2018 lagi. Tetapi ketika itu ia disasarkan kepada untuk jam tangan pintar.

Syarikat pengeluar itu mengambil sedikit masa untuk menghasilkan kaca perlindungan ini bagi kamera untuk mengatasi beberapa masalah. Antaranya seperti perlu lebih tahan calar dan dalam masa yang sama perlu membenarkan lebih cahaya masuk ke dalam sensor kamera.

Difahamkan bahawa Gorilla Glass with DX/DX+ mampu membenarkan cahaya masuk sehingga 98% disamping memberikan ketahanan sama seperti Gorilla Glass yang lain.

Buat masa sekarang, Corning masih belum menamakan sebarang model telefon  akan menggunakan kaca pelindung ini. Tetapi pada masa yang sama mengesahkan bahawa Samsung bakal jadi pengeluar telefon pintar pertama melengkapkannya pada telefon pintar mereka.

Untuk makluman, Samsung beberapa hari yang lalu telah mengesahkan Acara Galaxy Unpacked akan dilangsungkan pada 11 Ogos depan. Berkemungkinan kita dapat melihat prestasi sebenar Gorilla Glass DX/DX+ pada acara tersebut.

Sumber: Corning

Baca juga – Malaysia Di Tangga Ke-7 Dalam Negara ASEAN Bagi Purata Kelajuan Internet Mudah Alih

Baca juga – Ini Adalah Tren Terpantas Dunia, Jarak 1200km Hanya Ambil Masa 2.5 Jam

Baca juga – Tiada Lagi PES, Kini Jadi eFootball – Permainan Percuma Untuk Semua Platform