Pada Ogos Lalu, WhatsApp telah pun memaklumkan bahwa mereka akan memudahkan pengguna untuk memindahkan sejarah perbualan dari iOS ke peranti Android.

Kini ciri yang dikenali sebagai WhatsApp Cross Platform itu sudah pun  tersedia untuk digunakan anda.

Ciri ini akan memudahkan anda memindahkan keseluruhan data WhatsApp chat history termasuklah mesej suara (voice notes), foto, video dan perbualan secara selari dan selamat jika anda beralih kepada sistem operasi peranti pintar yang berbeza dari sebelumnya.

Tetapi anda tidak boleh memindahkan sejarah panggilan atau nama paparan anda.

Cuma untuk permulaan, ciri ini hanya tersedia pada sebarang peranti Android Samsung yang menggunakan Android 10 atau lebih tinggi sahaja. WhatsApp memaklumkan ciri ini akan tersedia pada lebih banyak peranti Android tidak lama lagi.

Jadi apabila anda menyediakan peranti yang baharu, anda akan diberikan pilihan untuk memindahkan sembang anda daripada peranti anda yang lama kepada yang baharu secara selamat. Proses ini akan memerlukan kabel USB-C ke Lightning.

Untuk mengetahui lebih lanjut cara untuk memindahkan data WhatsApp anda daripada iPhone kepada telefon Android Samsung, sila layari laman rasmi WhatsApp.

Sumber: WhatsApp