Sejak tahun 70-an, setiap negara bercita-cita untuk membawa balik sampel daripada permukaan bulan ke bumi.
Semalam, sebuah roket March-5 yang membawa kapal angkasa Chang’e-5 telah berlepas dari Pusat Pelancaran Angkasa Wenchang di Pulau Hainan selatan China pada jam 4.30 pagi (waktu Beijing).
Perjalanan roket tersebut dijangka mengambil masa sekitar 8 hari untuk tiba di permukaan bulan.
Dinamakan sebagai Chang’e-5 bersempena dengan dewi bulan Cina, ia mempunyai misi utama iaitu mengumpul sampel batu dan tanah yang berada di permukaan bulan.
Ini bertujuan untuk membantu para saintis memahami lebih mendalam tentang asal usul dan pembentukan bulan.
Selain itu, ia turut menguji kemampuan China untuk memperoleh sampel dari angkasa hanya dengan mengawalnya dari bumi.
Tambahan lagi, misi ini juga berkait dengan kejuruteraan dimana mereka akan memahami dengan lebih komprehensif mengenai teknologi penerokaan bulan.
Sekiranya berjaya, China akan menyertai dua negara lain yang memiliki sampel ini iaitu Amerika Syarikat dan Soviet Union.
Caranya adalah dengan menggerudi ke permukaan bulan melalui lengan robot. Kemudian bahan ini akan dipindahkan ke kenderaan ascender yang akan membawa sampel tersebut.
Sampel itu kemudian akan dipindahkan kembali ke dalam kapsul untuk perjalanan ke bumi yang dirancang pendaratannya di wilayah Mongolia.
Robot ini akan menjalankan misi di permukaan bulan kira-kira dua hari sementara misi keseluruhan adalah sekitar 23 hari.
Sumber: skynews