Celcom Axiata Bhd (Celcom) sedang mempercepatkan pelaburan rangkaian sebanyak RM256 juta bagi menaik taraf kapasiti rangkaiannya dan menggunakan lebih banyak menara stesen pangkalan 4G di seluruh negara.

Langkah mempercepatkan pelaburan rangkaian itu dijangka akan meningkatkan liputan dan kualiti 4G di kawasan luar bandar dan bandar.

Menurut Celcom, sejumlah 4,700 tapak rangkaian disasarkan menjelang Februari 2021. Daripada jumlah tersebut, 49% adalah di kawasan bandar, manakala 51% adalah di kawasan luar bandar. Tapak rangkaian tersebut akan dinaik taraf dan dioptimumkan dengan peningkatan kapasiti, pemasangan peralatan 4G baharu dan program pengoptimuman rangkaian teras.

Ia juga termasuk menaik taraf dan mengoptimumkan hampir 1,000 tapak rangkaian 4G di Sabah dan Sarawak serta meningkatkan liputan 4G Celcom di kawasan luar bandar.

Dalam pada itu, Celcom juga akan meneruskan program pengoptimuman kluster nasional di seluruh negara bagi tambahan 3,600 tapak rangkaian, menaik taraf kepada kapasiti yang lebih baik dan memberikan kualiti suara dan video berkualiti kepada pengguna, yang disasarkan siap menjelang Ogos 2021.

Dengan itu, ia membolehkan penyampaian video definisi tinggi (HD) 720p kepada lebih ramai pengguna serta dapat meningkatkan kualiti suara dengan Voice Over LTE (VoLTE).

Sumber: BERNAMA