Telegram terkenal dengan aplikasi permesejan alternatif WhatsApp yang hadir dengan ciri keselamatan dan privasi lebih baik.

Namun, ia tidak boleh lari daripada mesej dibaca oleh ahli keluarga mahupun rakan-rakan ketika mana mereka membuka Telegram anda tanpa sengaja.

Akan tetapi, anda boleh tetapkan kod laluan dan kunci aplikasi Telegram ini agar ia tidak mudah ‘diceroboh’ dengan mudah.

Kod laluan di iPhone dan Android

Untuk peranti iPhone dan Android, caranya sama sahaja. Pertama sekali, anda perlu buka aplikasi Telegram dan klik settings atau tiga garisan (Android).

Seterusnya, klik privacy and security. Pada bahagian ini, pilih passcode & touch/face ID atau passcode lock di Android.

Kemudian, tetingkap kod laluan akan terpapar dan anda perlu masukkan kod laluan yang diinginkan sama ada pin 4 digit atau 6 digit.

Selesai memasukkan kod laluan, anda juga boleh tetapkan pilihan kunci secara automatik untuk tempoh tertentu seperti 1 minit, 5 minit atau mungkin 5 jam. Bagi memudahkan nyahkunci, klik pada pilihan unlock with touch/face ID atau fingerprint.

Dengan ini, anda dapat lihat ikon kunci pada aplikasi Telegram di telefon pintar yang bermaksud anda berjaya mengaktifkan kod laluan.

Sekiranya anda terlupa kod laluan yang telah ditetapkan, anda perlu nyahpasang (uninstall) dan pasang (install) semula aplikasi Telegram. Kemudian log masuk Telegram kembali.

Itu sahaja yang dapat dikongsikan pada kali ini. Selamat mencuba.