WhatsApp merupakan sebuah aplikasi permesejan yang sangat popular walaupun dilanda kontroversi berkaitan privasi pengguna.

Disebabkan ini juga, banyak kumpulan perbualan yang dicipta untuk tujuan sekolah, universiti, keluarga mahupun kerja.

Namun, masalah yang akan dihadapi apabila berada dalam kumpulan perbualan ini adalah ia akan mengambil ruang storan di telefon pintar.

Jika anda sejenis yang tidak membuang atau delete chat yang lama, WhatsApp akan mengambil storan telefon lebih banyak dan mungkin lebih besar daripada aplikasi permainan mudah alih.

Oleh itu, di sini adalah cara untuk mengurangkan ruang storan tersebut. Cara ini adalah yang paling mudah dan telah diperkenalkan WhatsApp, iaitu menguruskan ruang storan aplikasi.

Pertama sekali, buka aplikasi WhatsApp di iOS atau Android dan pilih settings. Kemudian, klik storage and data.

Pada tetapan ini, pilih manage storage.

Di sini, anda dapat lihat segala fail bersaiz besar seperti video, meme, gambar dan sebagainya yang telah anda simpan atau muat turun. Ini termasuk fail yang telah dihantar banyak kali.

Oleh itu, anda hanya perlu pilih fail yang besar dan terus membuangnya jika tidak diperlukan.

Satu lagi cara tambahan, pada bahagian storage and data tadi, anda juga boleh menetapkan fungsi media auto-download kepada never. Dengan ini, tiada lagi media yang akan dimuat turun secara automatik ke dalam telefon.

Itu sahaja yang dapat dikongsikan pada kali ini. Semoga bermanfaat.